Selamat Hari Raya
Maaf Zahir & Batin
Daripada : Hamid & Keluarga

Renungan

Renung fikiranmu, ia menjadi kata-kata;
Renung kata-katamu, ia menjadi perbuatan;
Renung perbuatanmu, ia menjadi amalan;
Renung amalanmu, ia adalah sifat dirimu.




Kemaafan mungkin amat berat untuk diberikan kepada orang yang pernah melukai hati kita. Tetapi hanya dengan memberi kemaafan sahajalah kita akan dapat mengubati hati yang telah terluka. Kemaafan yang di beri secara ikhlas umpama pisau bedah yang boleh membuang segala parut luka emosi.

PERSEDIAAN MENGHADAPI PEPERIKSAAN

PERSEDIAAN ASAS

1. Semangat Yang Tinggi
2. Pembacaan Yang Banyak
3. Kefahaman Yang Jelas
4. Ulangkaji Berterusan
5. Keyakinan Diri

Di dalam menghadapi peperiksaan UPSR/PMR/SPM/STPM, satu perkara yang tidak boleh dilupakan ialah persediaan di peringkat awal secara berterusan sehingga tiba masa yang ditetapkan dan akan menjadi lebih berkesan sekiranya kaedah pembelajaran yang betul diamalkan. Namun, ramai juga pelajar yang tidak dapat menghadapi peperiksaan dengan baik walaupun telah menumpukan banyak masa di saat awal hinggalah ke akhirnya. Malahan ramai juga yang pada saat-saat akhirnya menjadi putus asa.

Untuk menjawab pertanyaan ini cubalah bertanya kepada diri anda tentang :-
1. Adakah anda telah menghabiskan topik-topik penting ?
2. Adakah anda telah memahami apa yang diajar oleh guru atau dibaca sendiri ?
3. Adakah anda menhadapi pelajaran dengan semangat yang tinggi ?
4. Adakah anda berterusan belajar dan meneliti soalan-soalan lepas ?
5. Adakah anda mempunyai keyakinan diri untuk menjawab soalan nanti ?

UJIAN BULANAN DAN PEPERIKSAAN PENGGAL

Ramai pelajar bersikap acuh tak acuh di dalam menghadapi ujian bulanan dan peperiksaan penggal dan ada yang menganggapnya tidak penting. Pada hal ujian dan peperiksaan ini boleh mempengaruhi keputusan peperiksaan nanti. Akibatnya ramai pelajar yang gagal dan mendapat markah yang rendah di dalam setiap ujian /peperiksaan.

Sikap seperti ini hendaklah dikikiskan. Walaupun demikian, seandainya anda gagal di dalam ujian, jadikanlah ia suatu pengajaran untuk lebih memahami dan bersungguh-sungguh mengulangkaji pelajaran. Kegagalan di dalam ujian mungkin disebabkan oleh beberapa faktor seperti :-

a) Kurang memahami apa yang diajar
b) Tidak mengambil perhatian yang serius terhadap pelajaran.
c) Tidak mengulangkaji pelajaran selepas waktu persekolahan.

KEARAH MEMBENTUK KEYAKINAN

Keyakinan menghadapi peperiksaan hanya boleh diperolehi oleh pelajar yang sudah betul-betul membuat persiapan yang rapi. Antara persiapan yang perlu diberi perhatian ialah :-

a) Habis mengulangkaji topik-topik yang disoal.
b) Mengingati dengan baik nota-nota yang penting.
c) Mengetahui bentuk-bentuk soalan yang akan disoal.
d) Bertawakkal kepada Allah S.W.T.

BEBERAPA PERINGATAN KEPADA PELAJAR

  • Tidak keterlaluan membaca sehingga kurang tidur.
  • Belajar dengan hati yang tenang dan lapang. Pastikan semua kerja atau masalah diselesaikan terlebih dahulu sebelum anda memulakan pembelajaran/study.
  • Disiplinkan diri anda. Pastikan anda tidak membuang masa dengan kerja-kerja yang sia-sia. Tepatilah masa belajar yang anda telah tetapkan dan pastikan anda ada masa untuk merehatkan otak secukupnya. Elakkan daripada memaksa diri anda untuk belajar sekiranya anda letih dan mengantuk.
  • Elakkan diri anda daripada membaca dan menghafal matematik. Sebaliknya cubalah memperbanyakkan latihan mengira dan memahami formula dan konsepnya.
  • Berbincang dengan rakan yang lebih memahami dan elakkan daripada sifat malu bertanya.
  • Elakkan daripada sifat menangguhkan sesuatu kerja yang diberi oleh guru serta jauhkan sikap mengambil jalan mudah dengan meniru kerja kawan tanpa memahami akan maksud dan konsepnya.
  • Elakkan mengumpulkan nota yang diberikan oleh guru sehingga bertimbun barulah hendak mengulangkajinya.

Sesungguhnya seseorang pelajar akan mencapai tahap penguasaan yang maksimun jika dia mampu mengaplikasikan teknik dan kaedah belajar yang betul. Setiap pelajar mempunyai cara belajar yang berbeza, janganlah meniru gaya belajar orang lain yang tidak sesuai dengan kita. Nota ini sebagai panduan sahaja, ubahlah ia agar sesuai dengan teknik dan cara anda sendiri. InsyaAllah kejayaan itu milik semua.

Renungan

“ Jangan berputus asa dalam mencari Ilmu bila Ilmu yang dicari itu tidak mahu masuk kedalam sanubari, tapi bersabarlah,kerana air yang lembut itu apabila menitis keatas sebiji batu yang besar secara berterusan, batu itu pasti akan mempunyai lekuk”




“Hidup kita ibarat subjek matematik iaitu tambah, tolak, darab dan bahagi. amalan yang baik hendaklah ditambahkan, segala perbuatan yang buruk dan dimurkai oleh Allah hendaklah ditolak atau dijauhkan, pahala amalan hendaklah digandakan dan masa yang ada hendaklah dibahagikan dengan sempurna agar kita tidak tergolong dalam golongan mereka yang rugi hidup di dunia dan akhirat.”

Formula Kecemerlangan

FORMULA KECEMERLANGAN: BINALAH GOL DAN BERUSAHALAH. ANAK PANAH HANYA BERKESAN SELEPAS IA KELUAR DARI BUSURNYA MENUJU SASARAN

1- KENALI BERLIAN SEBAGAI BERLIAN. Kecemerlangan bermula dengan ilmu. Ilmu diumpamakan seperti permata. Anda tidak akan dapat menghargai berlian jika anda melihatnya sebagai kaca. Justeru binalah kesedaran tentang kepentingan ilmu. Ia seperti berlian. Ingatkan diri tentang nabi Adam. Sebelum menjadi khalifah di bumi baginda menguasai ilmu terlebih dahulu (rujuk al-Baqarah ayat 31). Ingatlah tentang ayat pertama yang dikurniakan kepada nabi Muhammad iaitu “iqrak” dan ia berkaitan dengan penguasaan ilmu yang baik. Ingatkan diri bahawa kita akan merempat tanpa ilmu. Kita akan dimalukan tanpa ilmu. Salah satu contoh yang baik ialah tokoh Islam yang bernama al-Biruni. Ketika beliau sedang nazak, beliau telah diziarahi oleh sahabatnya. Ketika itu beliau terus bertanya tentang satu hukum yang agak sulit berhubung dengan masalah waris pusaka. Berkata sahabatnya, “Sesuaikah untuk kita berbincang tentang perkara ini sekarang?” Al-Biruni menjawab, “Aku lebih suka mati dalam keadaan berilmu daripada jahil.” Kejarlah permata. Kejarlah ilmu.

2- BINALAH GOL. Binalah matlamat YANG JELAS dalam hidup. Dalam bahasa mudah, pastikan dalam hidup ini anda tahu hendak ke mana. Jangan lupa, rasul-rasul yang wajib diimani iaitu nabi Adam, Idris, Noh, Hud, Salih, Ibrahim, Luth, Ismail, Ishak, Yaakob, Yusuf, Ayub, Syuaib, Musa, Harun, Zulkifli, Daud, Sulaiman, Ilyas, Ilyasak, Yunus, Zakaria, Yahya, Isa dan Muhammad diutus dengan matlamat yang jelas. Dalam surah An-Nahl ayat 36 Allah berfirman, “Sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul bagi setiap umat (untuk menyeru), ‘Sembahlah Allah dan jauhilah kesesatan (taghut)’.” Jangan lupa, nabi telah menyatakan kepada sahabat baginda awal-awal lagi bahawa “pada suatu hari nanti kamu akan menguasai istana maharaja Parsi.” Semua ini adalah GOL. Dr Danial sejak di tingkatan dua lagi, alhamdulillah, sudah bercita-cita untuk menjadi seorang doktor Muslim yang berwibawa. Kemuncaknya ialah kita mahukan keredaaan Allah.

3- USAHA, USAHA DAN USAHA. Jika tidak dipecahkan ruyung bagaimana kan dapat sagunya. Dalam berusaha pasti ada cabaran. Lihatlah kepada GOL selalu agar rangsangan sentiasa diperolehi. Dalam berusaha hendaklah ditentukan jadual dan hendaklah ditingkatkan disiplin. Berkawanlah dengan mereka yang pentingkan USAHA, USAHA DAN USAHA agar dapat saling bantu-membantu.

4- IBADAH DAN DOA. Siapalah kita tanpa bantuan Allah. Justeru ibadah dan doa tidak boleh diperkecilkan sedikit pun. Jagalah solat dan bacalah Quran SETIAP HARI dan fahamilah maksudnya. Saya yakin dengan ini, insya Allah, hidup anda akan berubah dan terus berubah dan terus berubah ke arah kejayaan.

Semoga berjaya.

Berfikiran Positif

ENGKAULAH apa yang engkau fikirkan... . begitulah ungkapan yang menjadi lirik lagu yang sering didendangkan oleh pelajar. Ungkapan di atas bermaksud fikiran membentuk keperibadian individu.

Kita sentiasa menggunakan fikiran ketika belajar, berbincang, bermain malah ketika tidur juga fikiran kita terus berfungsi, tambahan pula apabila bulan peperiksaan hampir tiba. Berbagai-bagai perkara yang difikirkan sama ada yang menyeronokkan atau yang mendukacitakan.

Apabila kita memikirkan sesesuatu yang menyeronokkan, wajah akan menjadi ceria, anggota badan menjadi ringan serta rajin untuk bergerak, jiwa merasa lega kerana tidak menanggung derita dan akhirnya diri akan lebih bersemangat untuk bertindak. Sebagai contoh jika ketika belajar kita memikirkan tentang kejayaan yang bakal kita kecapi, maka sudah tentu apa sahaja kesukaran yang mungkin kita temui dapat diselesaikan walaupun terpaksa bersusah payah berusaha untuk mencari jalan penyelesaian.

Sebaliknya jika fikiran kita sentiasa memikirkan tentang masalah yang mendukacitanya kita, maka wajah akan menjadi murung, anggota badan menjadi berat dan malas untuk bergerak, jiwa sentiasa resah serta terseksa dan akhirnya tidak mempunyai semangat untuk bertindak.

Sebagai contoh walaupun hanya sedikit kesukaran yang ditemui ketika belajar ia tidak mungkin dapat diselesaikan jika fikiran kita sentiasa memikirkan perkara-perkara yang negatif seperti kegagalan yang akan ditemui atau rintangan yang diluar daripada kesanggupan diri untuk menyelesaikannya.

Dari dua situasi di atas jelas menunjukkan bahawa pemikiran itu menguasai tindakan di mana akhirnya membentuk keperibadian seseorang.

Justeru, kita perlulah sentiasa berfikiran positif iaitu kita perlulah beranggapan bahawa apa sahaja masalah yang mungkin timbul dapat diselesaikan melalui usaha yang gigih. Setiap tindakan harus dilakukan secara terancang tanpa tergesa-gesa. Kejayaan tidak akan timbul dalam sekelip mata tetapi perlu mengejarnya secara berterusan tanpa berputus asa. Oleh itu jangan ketinggalan masa, bertindaklah segera....anda pasti berjaya!




Kepelbagaian cara belajar

BELAJAR sememangnya menyeronokkan tetapi bagi mereka yang belajar dengan hanya tertumpu pada buku sahaja kadangkala mungkin juga membosankan. Oleh itu murid harus mempelbagaikan bahan, kaedah dan gaya belajar agar ianya menjadi aktiviti harian yang mampu dijalankan tanpa terasa sebagai bebanan.

• Bahan – terdapat pelbagai bahan belajar yang boleh digunakan termasuklah buku teks, akhbar, bahan grafik, lakaran peta minda, bahan audio, video, animasi serta bahan dari internet.

Bahan seumpama ini boleh diperoleh daripada pusat sumber sekolah atau negeri, kedai buku, kedai video dan sebagainya. Bahan yang mempunyai imej atau yang bercirikan multimedia mampu menarik perhatian kita serta mampu mengekal dan menambahkan daya ingatan terhadap fakta-fakta yang dipelajari.

• Kaedah – belajar sendirian adalah suatu amalan yang baik tetapi kadangkala kita mudah rasa jemu, bosan dan mengantuk. Adalah dicadangkan supaya murid-murid mampu berinteraksi atau berbincang dengan rakan-rakan berdasarkan bahan yang dipilih.

Idea yang bernas daripada rakan-rakan mampu memberi maklum balas serta menjadi asas membetulkan kesilapan yang dilakukan. Mencari bahan dengan melayari Internet mampu menambahkan kemahiran penggunaan komputer di samping mendapat bahan atau fakta terkini.

• Gaya belajar – Gaya belajar juga mempengaruhi segala tindakan kita dalam proses mengulang kaji. Oleh itu gaya belajar juga harus dipelbagaikan termasuk kedudukan kita ketika belajar sama ada secara formal berada di kerusi, duduk di lantai atau bersandar di sofa. Ada juga pelajar yang suka belajar sambil mendengar muzik.

Amalan ini boleh dilakukan tetapi dalam keadaan terkawal. Muzik yang didengar itu sebaik-baiknya tidak terlalu kuat sehinggakan hilang daya tumpuan belajar. Walau bagaimanapun anda dilarang mendengar muzik ketika melakukan aktiviti belajar seperti menghafal atau membuat latihan yang mempunyai aras kesukaran yang tinggi yang banyak menggunakan daya berfikir. Menonton televisyen ketika belajar adalah dilarang sama sekali.

Dalam jangka masa terdekat ini murid-murid harus mempelbagaikan cara belajar masing-masing. Keseronokan ketika belajar harus dirasai agar apa yang dipelajari itu difahami dan akhirnya mampu menjawab soalan peperiksaan dengan tenang, berkeyakinan dan menepati kehendak soalan.

40 Kesilapan Mendidik Anak-anak

1. Pemilihan jodoh tanpa memperhitungkan mengenai zuriat

2. Perhubungan suami isteri tanpa memperhitungkan mengenai zuriat

3. Kurang berlemah lembut terhadap anak-anak

4. Memaki hamun sebagai cara menegur kesilapan anak-anak

5. Tidak berusaha mempelbagaikan makanan yang disajikan kepada anak-anak

6. Jarang bersama anak-anak sewaktu mereka sedang makan

7. Melahirkan suasana yang kurang seronok ketika makan

8. Membeza-bezakan kasih sayang terhadap anak-anak

9. Kurang melahirkan kasih sayang

10. Sering mengeluh di hadapan anak-anak

11. Tidak meraikan anak-anak ketika mereka pergi dan pulang dari sekolah

12. Tidak mengenalkan anak-anak dengan konsep keadilan

13. Tidak memberatkan pendidikan agama di kalangan anak-anak

14. Tidak terlibat dengan urusan pelajaran anak-anak

15. Tidak memprogramkan masa rehat dan riadah anak-anak

16. Tidak menggalakkan dan menyediakan suasana suka membaca

17. Mengizinkan anak-anak menjamah makanan dan minuman yang tidak halal

18. Tidak menunjukkan contoh tauladan yang baik di hadapan anak-anak

19. Jarang meluangkan masa untuk bergurau senda dengan anak-anak

20. Terdapat jurang komunikasi di antara ibubapa dengan anak-anak

21. Tidak menggunakan bahasa yang betul

22. Suka bertengkar di hadapan anak-anak

23. Sentiasa menunjukkan muka masam di hadapan anak-anak

24. Tidak membimbing anak-anak supaya mematuhi syariat

25. Memberi kebebasan yang berlebihan kepada anak-anak

26. Terlalu mengongkong kebebasan anak-anak

27. Tidak menunaikan janji yang dibuat terhadap anak-anak

28. Tidak menunjukkan minat kepada aktiviti anak-anak

29. Tidak memupuk semangat membaca di kalangan anak-anak

30. Tidak berminat melayan pertanyaan atau kemusykilan anak-anak

31. Tidak memberi perhatian terhadap buah fikiran anak-anak

32. Lambat memberi penghargaan kepada anak-anak

33. Kerap meleteri sesuatu kesilapan yang dilakukan anak-anak

34. Hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan

35. Sering mengancam dan menakutkan anak-anak

36. Menghukum tanpa menyatakan kesalahan yang dilakukan

37. Tidak konsisten dalam menjatuhkan hukuman ke atas anak-anak

38. Memberi nasihat yang sama kepada anak-anak

39. Tidak tegas mendidik anak-anak

40. Tidak menggalakkan anak-anak hidup bekerjasama

Teknik mengajar anak MENGHORMATI and mengeratkan hubungan ibu bapanya

1. Jika si ibu marahkan anak, bapa DILARANG backing anak semasa anak itu dimarahi. Begitulah sebaliknya. Jika tidak, anak akan hilang rasa hormat terhadap ibu/bapa yg memarahi. Anak mencontohi apa yg diajar/dididik oleh ibu bapanya. Apabila berlaku percanggahan arahan/undang2, anak akan menjadi keliru arahan/undang2 siapakah yg patut dipatuhi. Si ibu atau si bapa. Apabila berlaku pertentangan pendapat yg terang2 ditunjukkan ibu bapa ke atas anak ketika dimarahi, ia telah menjatuhkan MARUAH dan MARTABAT org yg memarahi (ibu/bapa). Anak hilang rasa hormat dan merasakan perbuatan nakal mereka adalah betul belaka kerana ada yg backing.

2. Bapa DILARANG menengking/mengherdik/bertengkar Ibu di hadapan anak2. Begitulah sebaliknya. Anak mencontohi tindak tanduk ibu bapa. Satu rutin putaran kehidupan akan kembali dilakukan oleh anak ke atas ibu yg sering ditengking oleh bapa di hadapan anak2.

3. Sentiasa masak utk anak dan ajak anak sama2 masak/makan, makanan hasil tangan ibu ini dapat mengeratkan hubungan rohani anak dan ibu.

4. Ibu bapa MESTI makan bersama anak-anak

Mieds

Definisi Kaunseling

Kaunseling merupakan suatu konsep yang telah di ketahui umum khususnya di kalangan masyarakat maju. Semakin majunya kehidupan ahli dalam sesebuah masyarakat, semakin meningkat pula masalah-masalah yang harus di tempuhi oleh ahli-ahlinya.

Kebanyakan individu apabila diminta untuk mentakrifkan tentang kaunseling akan menyatakan bahawa kaunseling adalah satu proses pertemuan di antara seorang kaunselor dengan individu yang ingin diberikan bantuan. Dengan lain perkataan, kaunselor ialah individu yang khusus bertugas secara terarah atau sukarela untuk memberikan pertolongan kepada orang lain untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi oleh klien (orang yang datang berjumpa denga kaunselor). Definasi yang di berikan ini terlalu umum.

Untuk pemahaman dengan lebih jelas lagi tentang definisi kunseling, dipetik tiga definisi yang telah dibuat oleh tiga tokoh iaitu Blocher (1974); Corey (1977) dan James (1982).

Blocher (1974) mendefinasikan kaunseling sebagai suatu proses untuk menolong individu supaya ia menjadi lebih sedar tentang dirinya dan bagaimana ia dapat bertindak balas dalam alam persekitarannya. Corey (1977) sepertimana dengan Blocher menekankan tentang proses di mana seorang klien diberi peluang untuk menerokai aspek diri dan kehidupannya yang menimbulakn masalah pada dirinya. Akhir sekali James (1982) pula mendefinasikan kaunseling sebagai suatu proses pembelajaran yang lebih menekankan kepada proses membantu individu untuk mencapai kehendaknya, membimbing dan menilai potensi yang ada pada diri individu.

Ketiga-tiga definasi yang di pilih ini memberikan penekanan kepada proses untuk menolong, menyedarkan individu tentang dirinya dan suatu proses pembelajaran individu untuk mencapai tingkat kesejahteraan dalam kehidupan yang dilalui.

Konsep atau definasi kaunseling mengikut perspektif Islam didapati lebih luas dan lebih komprehensif. Aziz Salleh (1996) misalnya menyatakan bahawa kaunseling merupakan suatu khidmat perhubungan di antara seorang klien yang mempunyai masalah psikologikal dengan seorang kaunselor terlatih untuk membantu klien bagi mengatasi masalah yang dihadapi. Kaunseling Islam mempunyai liputan skop masalah yang lebih besar iaitu yang berkaitan dengan keimanan seseorang seperti aspek ketuhanan, alam akhirat, dosa, pahala, neraka, hari kiamat dan sebagainya.

Mengikut ajaran Islam, kaedah kaunseling ini adalah suatu amalan asas yang perlu dipergunakan dalam perhubungan sesama manusia. Amalan nasihat-manasihati dan menjauhi tindakan yang bertentangan dengan ajaran Islam merupakan asas dalam didikan Islam.

Walau apapun definasinya, pertemuan antara kaunselor dan klien dalam beberapa sesi kaunseling telah dapat mencapai alternatif terbaik untuk individu mengatasi masalah yang dihadapi agar dirinya dapat berfungsi dengan lebih berkesan di alam persekitarannya.