“Kami Mengajar Semua Orang Besar ….”


 ”Kami mengajar semua orang besar. Oleh sebab itu kami lebih besar daripada semua orang besar ” – Socrates

            Sungguh agung profesion perguruan. ” Sesiapa yang mengajar tiga perkataan maka telah layak menjadi guru” dan ”berdosa orang yang melawan guru” kata orang tua-tua. Begitu mulia profesion perguruan. Dalam kad ucapan hari guru, sering ditulis kata-kata ” kau umpama lilin, membakar diri sendiri menerangi orang lain”, sungguh sedih kata-kata itu.

            Sesungguhnya, guru matang tidak akan memusnahkan diri sendiri, membimbing dan mendidik adalah satu kerjaya. Hanya Tuhan yang tahu betapa gembiranya guru apabila pelajarnya mendapat kejayaan. Jika guru mati, profesionya dibawa ke kubur. ”Itu kubur siapa ?” ”Itu kubur cikgu .....” Profesion guru bukan tamat dikubur.

            Ganjaran pahala akan bertambah selagi pelajarnya mendapat manfaat. Pahala ini akan terus didapati jika ilmu itu diperturunkan oleh pelajarnya kepada pelajar-pelajar lain. Seperti konsultan mendapat bonus daripada pembekal jualan, bahkan lebih daripada itu, kerana bonus pahala berterusan hingga selepas mati.

            Banyak sungguh pahala cikgu tetapi jika guru menyeleweng seperti berpolitik dan berniaga di sekolah maka banyak sungguh dosa cikgu sekiranya anak didik terabai. Senang bagi guru dapat pahala atau dosa......

            Mengajar sesuatu ilmu kadangkala boleh disamakan dengan petani yang bercucuk tanam. Jika mahu hasil yang baik tanamlah biji benih yang baik. Pepatah cina ada mengatakan ” kalau inginkan hasil dalam semusim tanamlah bijian, Kalau inginkan hasil dalam setahun tanamlah pokok. Kalau inginkan hasil berabad lamanya didiklah manusia.” Manusia merupakan ciptaan Tuhan yang paling istimewa.

            Sumber manusia merupakan sumber tenaga untuk menjamin masa depan. Masa depan bergantung kepada pengetahuan yang diajar masa kini. Nabi Muhamad s.a.w ada bersabda yang bermaksud : hendaklah kamu tergolong dalam salah satu golongan ini :
            1. Golongan Guru
            2. Golongan  pelajar
            3. Golongan pendengar
Kami termasuk dalam golongan guru. Ajarlah anak didik, tidak ada cara lain bagi pemupukan generasi kamil selain daripada pengajaran yang bermanfaat. Ajarlah mereka, jika kurang ajaran, jadilah mereka ’kurang ajar.’

Selamat Hari Guru dan Selamat Mengajar.


0 comments: