Mengawal Kegugupan Ketika Berucap

Takut adalah emosi di minda. Seperti emosi lain, ia boleh dikawal.

Setiap kali Anda takut, akan wujud perasaan gugup kerana di minda Anda terbayang imej yang Anda takuti, padahal tak semestinya itu yang akan 100% terjadi. Contoh, berucap di depan, sama ada di pentas, di depan kelas atau ketika sesi pembentangan berdepan orang kita hormati (guru, pensyarah, ketua jabatan, pengarah syarikat, CEO atau pengawai-pegawai tinggi).

Takut berucap, sebab dalam kepala akan terbayang wajah audiens mengkritik Anda, kesannya Anda merasa diri Anda tak bagus, walaupun tak semestinya itu yang akan terjadi. Anda sebenarnya meletakkan sempadan pada keupayaan diri sendiri. Perlu pecahkan sempadan dulu, bermula di fikiran.

Cara nak mendepani rasa takut adalah dengan mengecilkan imej wajah audiens yang kita takuti tu, ketika membayangkannya dalam kepala. Kecilkan perlahan-lahan, semakin kecil, semakin mengecil, kecil lagi hingga menjadi saiz sebutir nasi. Bayangkan dalam imaginasi Anda.

Kemudian, bayangkan imej diri yang yakin. Anda nampak diri Anda dengan air muka nampak serius, suara kuat dan jelas, pernafasan terkawal, gaya tangan terkawal, gaya berdiri yang tegap, memandang ke depan dengan penuh berani.

Bayangkan Anda melihat diri Anda dari kaca mata penonton bagaikan Anda duduk ditempat penonton. Anda melihat diri Anda di depan sana berdiri tegak dengan yakin.

Bayangkan audiens kagum dengan kata-kata Anda. Cara lain, bayangkan mereka bangga dengan Anda kerana menyampaikan kata-kata yang sungguh memberi semangat. Bayangkan imej ini sekerap mungkin sebelum Anda tampil ke depan.

Ambil nafas dalam-dalam, tahan 3 saat, kemudian hembus perlahan-lahan. Lakukan teknik pernafasan ini sehingga Anda benar-benar tenang. Pastikan Anda sentiasa dalam keadaan tenang. Biar bertenaga, tapi sentiasa tenang.

0 comments: