Antara MoDaL, MoDeL, MeDaL dan MoDuL

TOKOH korporat sentiasa berfikir bagaimana hendak mencari modal. Semasa menjalankan aktiviti perniagaan, mereka juga berikhtiar bagaimana hendak pulang modal. Seterusnya mereka perlu berusaha untuk mencari untung yang berlipat kali ganda setelah ditolak modal asal. Modal terbahagi dua iaitu modal asas perniagaan dalam bentuk harta benda, wang, saham, hartanah dan modal berteraskan kemanusiaan iaitu modal insan.

Manakala golongan artis selalu berangan-angan bagaimana hendak menjadi seorang model. Mereka berlatih bersungguh-sungguh sama ada cara berjalan mahupun gaya fesyen pakaian agar diumumkan sebagai model yang memikat ramai peminat.
Kini, model adalah merupakan suatu kerjaya yang glamor dan mendapat sambutan menggalakkan dari para peminat khasnya golongan muda dan remaja.

Ahli sukan pula setiap hari memerah keringat untuk memburu medal (pingat). Tanpa mengira apa jua warna medal yang diperoleh, mereka tetap tabah untuk merealisasikan hasrat itu.
Bermula dengan pusingan kelayakan, pusingan pertama, kedua, suku akhir, separuh akhir hinggalah ke pertandingan akhir, atlet perlu bersemangat waja memburu medal. Ada tiga medal yang menjadi buruan iaitu emas, perak dan gangsa.

Dari mana datangnya si angsa,
Dari reban turun ke tanah,
Dari mana emas, perak dan gangsa,
Dari atlet yang kuat lagi amanah

Seterusnya golongan akademik terutamanya pensyarah dan para guru begitu asyik membina modul pengajaran dan pembelajaran. Modul perlu dibina, dibincangkan, dipraktikkan, diuji dan jika didapati berkesan ia perlu disebarkan. Tanpa modul yang berkesan, proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas memang sukar untuk mencapai objektif yang dihasratkan.

0 comments: